Wanita Ini Berkongsi Pengalaman Melihat Kawasan Kebun Bandar Di Turki
Sejarahnya menunjukkan aktiviti kebun bandar boleh menjadi salah satu sumber makanan kepada isu kekurangan bekalan makanan di negara ini.
Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini info pertanian terkini.
Nota Editor: Perkongsian cerita ini ditulis sendiri oleh Puan Sharifah Nur Rahimah, Ketua Pengawai Eksekutif Serotech Sdn. Bhd. semasa melawat bumi Istanbul, Turki. Kami kongsikan semula artikel ini dengan izin penulis.
Semoga perkongsian ini mampu memberi inspirasi buat pencinta tanaman kebun bandar di Malaysia.
Istanbul, Turki
Kedinginan udara sejuk kota Istanbul, Turki tepat pada masanya ketika negara berkenaan menyambut musim bunga dengan suhu dicatatkan sekitar sembilan hingga 22 darjah Celsius memberikan pengalaman berbeza kepada penulis.
Bayangkan betapa indahnya kota Istanbul dengan kemunculan ribuan warna bunga tulip yang menghiasi taman utamanya serta laluan pejalan kaki di sekitar bandar.
Lokasi pertama yang menjadi persinggahan penulis menerusi siri lawatan disusun YHA Travel Sdn Bhd ialah Kubu Kota Konstantinopel yang terkenal dengan tinggalan sejarahnya. Ia dilindungi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan sejarah dunia.
Kubu Kota Konstantinopel ini terletak di bahagian benua Eropah negara berkenaan berhampiran Laut Marmara.
Menariknya di sepanjang kubu ini, sudah pastiÂnya kemunculan petak khas yang menjadi kawasan penanaman sayur-sayuran segar.
Kelihatan beberapa lelaki dan wanita separuh usia terbongkok-bongkok membuang rumpai di celah sayur-sayuran yang ditanam.
Sangkaan penulis petak tanaman sayur itu antara usaha majlis perbandarannya untuk memanfaatkan kawasan kosong yang ada di dalam bandar dengan aktiviti kebun bandar.
Bagaimanapun, selepas diselidik, kawasan petak tanaman sayuran ini amat popular dan dinamakan Bostans.
Bostans adalah istilah dalam bahasa Turki yang bermaksud taman dan tapak sayur-sayuran. Ia terletak di dalam dan sepanjang Kubu Kota Konstantinopel sejak era Byzantine lagi.
Secara tradisi, Bostans sumber makanan sara diri kepada penduduk bandar ini sejak tahun 1900.
Dianggarkan ketika itu terdapat 1,200 Bostans meliputi kawasan 12 kilometer persegi di kedua-dua bahagian Bosporus.
Kebanyakan sayur-sayuran dan buah-buahan di bandar datang dari kebun ini.
Kebun bandar atau kebun urban adalah sebahagian daripada cara hidup penduduk di bandar ini ketika itu.
Kini bilangan petak tanaman ini sudah semakin berkurangan kerana dibawa arus pembangunan bandar.
Malah kebanyakannya sudah digantikan dengan bangunan baru yang menempatkan kedai, restoran dan hotel.
Sebahagian saja yang masih tinggal untuk dijadikan kawasan tarikan pelancong.
Terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran yang ditanam di Bostans seperti cili, salad, lobak, tomato, timun, ubi bit dan terung.
Hasil tanaman sebahagian besar dibekalkan kepada restoran dan pasar berdekatan. Sebahagian kecil saja dijual di gerai bersebelahan jalan utama Bostans.
Seterusnya lawatan ke ‘Spice Market’ menemukan penulis dengan ‘Flower Market’ yang terletak bersebelahan.
Di ‘Flower Bazaar’ ini terdapat deretan kedai menjual pelbagai benih sayur-sayuran yang menjadi tumpuan penanam kebun bandar. Anak pokok cili dan tomato turut dijual di bazar ini.
Selain itu keperluan penanaman seperti baja dan peralatan pertanian turut didapati dengan mudah.
Pengalaman melihat aktiviti kebun bandar yang diamalkan di bandar Istanbul ini membuka satu perspektif baru kepada penulis.
Sejarahnya menunjukkan aktiviti kebun bandar boleh menjadi salah satu sumber makanan kepada isu kekurangan bekalan makanan di negara ini. Ini yang cuba kami usahakan dengan Program Kebun Bandar Cilibangi.
Dalam program ini, peserta boleh memanfaatkan ruang kosong yang ada di sekeliling rumah mereka untuk menanam Cilibangi sebagai projek menambah pendapatan sampingan.
Pada masa sama mereka boleh menjimatkan perbelanjaan dapur dengan kaedah bercucuk tanam di kediaman yang terhad.
Maklumat lanjut berkenaan Program Kebun Bandar Cilibangi ini boleh didapati di blog kami di www.cilibangi.com atau www.cilibangi.com.
Dapat disimpulkan bahawa perjalanan jauh dilalui penulis ialah peluang mempelajari sejarah dari negara orang.
Jika di Istanbul, arus pembangunan moden banyak meminggirkan Bostans di sana, wajarlah kita meniru pelaksanaannya untuk mewujudkan Bostans di negara ini.
Bostans Malaysia yang ideal dan melambangkan identiti penduduk negara kita. Bayangkan deretan tanaman sayur-sayuran dan herba dapur di tengah bandar Kuala Lumpur. Jom kebun bandar!
Penulis Ketua Pegawai Eksekutif Serotech Sdn Bhd yang juga anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini disiarkan di Harian Metro : Selasa, 9 Jun 2015 @ 12:32 PM
Daftar kelas sekarang dan akses kelas pada bila-bila masa anda lapang. Harga kelas bermula RM30.