5 Langkah Mengatasi Serangan Siput Di Kebun
Jika tidak dikawal, habis pucuk-pucuk muda yang tumbuh akan diragut dengan rakus oleh siput di kebun kita.
Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini info pertanian terkini.
Siput babi (Achatina fulica), biasa sangat dijumpai di kawasan kebun. Baik dihalaman rumah ataupun sebesar ladang komersial. Pasti wujud siput ini. Ada sesetengah tempat, serangan siput ini masih boleh dikawal, namun, ada juga yang sebaliknya.
Apabila serangan siput berlaku, kesannya sangat rakus. Habis pucuk-pucuk muda dimakannya. Geram betul kita melihatnya kan.
Siput ini tidak termasuk dalam kategori serangga seperti belalang, aphid dan sebagainya. Setiap hidupan yang dikategorikan sebagai serangga mesti ada 6 kaki. Bahkan labah-labah juga tidak tergolong dalam kategori serangga.
Siput tergolong dalam kumpulan moluska (mollusca) yang menggunakan keupayaan otot perutnya sebagai mobilasi dari satu tempat ke tempat yang lain.
Oh lagi satu, jangan terkejut ya siput pun mampu hidup di dalam air. Buktinya, siput gondang yang cengkerangnya bewarna kehitaman dan telurnya bewarna merah jambu ini banyak ditemui di kawasan bendang sawah padi.
Jika tidak dikawal, habis pucuk-pucuk muda yang tumbuh akan diragut dengan rakus oleh siput ini.
Mesti pelik kan, bagaimana siput yang sekecil itu dan pergerakannya tidak laju seperti serangga yang berkeupayaan untuk terbang boleh memakan pucuk-pucuk muda dengan pantas.
Biasa kita lihat siput ini banyak terkumpul di pangkal pokok kita apabila waktu siang. Cuba lah selak di bawah pokok pandan kita tu, pasti banyak siput berkumpul dan bersarang.
Di celahan itu kita akan mendapati telurnya yang bewarna putih turut berada di situ.
Lazimnya, haiwan sekecil ini tidak akan mengeluarkan hanya satu, dua atau tiga biji telur. Kebiasaanya berpuluh-puluh biji telur akan keluar. Secara purata hampir 200-300 biji telur setahun. Itu baru seekor siput dewasa. Jika berpuluh ekor, macam mana tak pening kepala kan.
Siput ini akan menjalankan projek mengisi perutnya pada waktu malam. Ya, siput adalah haiwan yang bersifat nokturnal, yang bermaksud sangat aktif pada waktu malam. Sama seperti serangga perosak tanaman yang lain juga aktif pada waktu malam.
Bagaimana cara untuk kita mengawal siput babi ini?
Ada pelbagai petua yang boleh diusahakan dan dikongsikan oleh netizen di group tanaman facebook seperti Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri.
Ada bahan yang boleh kita guna semula di rumah dan ada juga yang perlu dibeli di kedai pertanian. Bergantung pada pilihan masing-masing.
1. Buang Telur Siput Babi
Kebiasaannya lokasi mereka menempatkan telur ini mesti jauh dari sebarang unsur bahaya. Binatang juga mempunyai sensitiviti terhadap keselamatan. Tentunya sarang mereka di tempat yang terpencil.
Di rumah saya, biasanya saya dapat lihat dibawah pangkal pokok pandan atau di bahagian sabut-sabut yang ditimbunkan atas permukaan tanah. Jika terjumpa telurnya, saya terus buang bersama-sama anak-anak siput yang baru menetas.
Jika siput dewasa turut ada di situ, saya tabur garam kasar terlebih dahulu, kemudian dibuang jauh-jauh. Kulit mereka sangat sensitif dengan garam.
2. Buat Rumah Hijau Mini Daripada Botol Terpakai
Siput sangat suka pucuk-pucuk muda yang baru tumbuh. Lembut dan enak barangkali. Jika kita mempunyai bilangan pokok yang sedikit dan tidak mahu menggunakan racun kimia atau bahan yang perlu ditabur, boleh guna botol terpakai untuk membuat perlindungan pada anak pokok.
Jika saiz pokok terlalu besar, boleh guna botol minyak masak atau buat pagar menggunakan jaring hitam. Biasanya untuk permulaan sahaja kita tutup pokok ini di dalam botol. Apabila sudah besar kita sudah boleh buka dan biarkan terdedah pada cahaya matahari secara terus.
3. Tabur Garam Epsom Di Sekeliling Pokok
Garam ini perlu ditabur pada sekeliling anak pokok. Ini akan membentuk satu lapisan pertahanan untuk mengelak siput bergerak menuju anak pokok kita.
Garam merupakan musuh pada siput. Memandangkan pergerakan siput menggunakan perut mereka, kulit mereka sangat sensetif apabila terkena serbuk garam ini.
Garam epsom ini biasa digunakan untuk pertanian kerana kaya dengan magnesium yang baik untuk pertumbuhan pokok. Mudah dicari di kedai-kedai pertanian.
4. Tabur Kulit Telur Ayam Yang Sudah Dihancurkan
Kulit telur ini kaya dengan kalsium dan bagus untuk pertumbuhan pokok. Disamping itu, pergerakan siput dapat dikawal dengan menabur kulit ini di sekeliling anak pokok yang membentuk sebagai lapisan perlindungan sama seperti kaedah menabur garam.
Boleh pilih salah satu daripada cara ini, sama ada mahu menggunakan garam atau kulit telur ayam yang hancur.
5. Menggunakan Racun Kimia Siputox
Racun ini dikeluarkan oleh Syarikat Agricultural Chemical of Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Seberang Perai, Pulai Pinang. Bahan Aktif yang digunakan dalam formulasi Siputox ini adalah Metaldehyde 5% w/w.
Bentuk racun ini dalam bentuk butir dan sedikit panjang. Cara menggunakan racun ini adalah dengan menabur di sekeliling kawasan penanaman yang dicurigai dengan kewujudan siput ini.
Racun kelas IV ini bersifat membunuh terus siput yang terkena butiran metaldehyde tersebut.
Meskipun kelas IV, jika ada anak kecil di rumah, kita perlu perhatikan sentiasa pergerakan dan tingkah laku anak kita apabila berada di luar rumah.
Khuatir mereka menelan butiran yang berada di atas tanah ini sebagai gula-gula.
Info lanjut berkenaan produk ini boleh dilihat di lamanweb www.agrichem.com.my.
Daftar kelas sekarang dan akses kelas pada bila-bila masa anda lapang. Harga kelas bermula RM30.
Saya gunakan bancuran air garam..sembur kearah siput yg bergayut mahupun dicelah pokok…. dgn telur2nya sekali musnah….
Terbaik!
Menggenai sibut babi.Saya ada satu saranan.Ia boleh dijadikan baja utk tumbuhan.Kumpul siput babi yg ada.Siapkan satu lubang yg besar yg boleh muat masok tempayan yg sedang atau besar.Pastikan mulut tempayan itu boleh ditutup rapat dan boleh ditembus dgn tanah.Siput2 tersebut diketuk dan kemudian dimaskkan dlm tempayan tersebut.Tutup dgn penutup kayu dgn serapatnya.Dan timbus dgn tanah.Biarkan seminggu.Jgn lupa tuang air dlm tempayan tu paras siput tu.Lepas seminggu air dari dlm tempayan tu jirus ke tanam anda.Innsyaallaah mudah2an berjaya.Ini pertua orang tua zaman dulu.
Puan Asiah yang baik,
Satu tips yang bagus. Menarik untuk dicuba.