Cara-cara Menyemai Benih Cili Dalam Dulang Semaian

Langkah pertama sebelum menyemai, kita perlu membuat proses rendaman biji benih. Proses ini dilakukan selama semalaman dan tujuan rendaman ini dilakukan untuk melembutkan kulit luaran benih tersebut.

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini info pertanian terkini.
CILIBANGI

Biji benih sayuran berbuah dan benih sayuran berdaun mempunyai perbezaan daripada segi kaedah semaiannya.

Namun, ada persamaan daripada segi kategori iaitu sejenis tanaman kontan.

Tanaman kontan adalah jenis tanaman singkat masa selain dari sayur-sayuran, dengan tujuan terutamanya untuk dijual. Contohnya seperti tanaman jagung, ubi kayu dan ubi keledek. – Wikipedia

Tempoh penanaman kontan mengambil masa tidak lebih dari setahun iaitu di antara 3 hingga 6 bulan.

Sangat singkat jika dibandingkan dengan pokok-pokok buah yang kita tanam di tepi rumah seperti rambutan, jambu air dan sebagainya.

BACA: Kenapa Benih Cili Perlu Disemai Dalam Dulang Semaian

Ini bermaksud selepas tempoh 3 hingga 6 bulan tersebut dicapai, musim penanaman yang baru beserta anak pokok yang baru akan ditanam semula.

Penggunaan Peatmoss Dalam Semaian

Peat-moss ini mempunyai struktur yang gembur dan kelihatan seperti lumut yang kering. Ya, peat-moss adalah sejenis lumut yang direputkan dan banyak digunakan dalam amalan penanaman.

Lumut yang dimaksudkan adalah jenis Sphagum yang sesuai hidup dalam iklim sejuk. Ia amat sesuai digunakan semasa proses semaian benih dan juga semasa proses mengetut.

BACA: 7 Manfaat Peat-Moss Pada Tanaman

Namun, ada juga sesetengah tempat menggunakan peat-moss untuk menanam pokok, sebagai campuran medium tanaman rumput.

Langkah-langkah Menyemai Benih Cili

Langkah pertama sebelum menyemai, kita perlu membuat proses rendaman biji benih. Proses ini dilakukan selama semalaman dan tujuan rendaman ini dilakukan untuk melembutkan kulit luaran benih tersebut.

Ini memudahkan proses percambahan berlaku dan akar baru akan muncul dengan pantas.

Dalam pada itu, air yang direndam ini boleh digunakan dari pelbagai sumber seperti air telaga, air sungai, air paip, air tadahan hujan dan sebagainya.

Kebiasaannya saya guna sahaja air paip. Itu yang mudah.

Dalam air rendaman tersebut saya gunakan Chitosan untuk menggalakkan percambahan dan sebagai rawatan patogen yang menyerang pokok cili seperti virus dan bakteria.

Dengan menggunakan chitosan, risiko kerosakan pokok disebabkan virus dan bakteria dapat dikurangkan. Bahkan, penggunaan chitosan ini bukan sahaja pada peringkat semaian, namun, sepanjang musim penanaman kita akan gunakan chitosan untuk langkah pencegahan penyakit.

Langkah kedua, selepas rendaman selama semalaman, benih tersebut perlu ditapis menggunakan penapis halus untuk menapis air rendaman yang terkandung chitosan.

Sebelum menapis benih tersebut, perhatikan seandainya wujud benih yang timbul. Asingkan benih yang timbul terlebih dahulu sebelum proses tapisan dilakukan.

Untuk makluman tambahan, air tapisan tersebut kita boleh gunakan semula untuk proses siraman air pada peatmoss selepas kita pindahkan benih di dalam tray semaian.

Jadi, tidaklah hasil rendaman tersebut dibuang begitu sahaja, masih ada kegunaannya.

Langkah ketiga, selepas proses tapisan, ambil benih yang sudah diasingkan letak ke atas tisu untuk tujuan pengetusan sementara. Ini sangat membantu kita dalam memindahkan biji benih ke dalam lubang dulang semaian.

Jika masih lembab, biji benih tersebut akan melekat pada tangan kita. Ini akan menyebabkan proses pemindahan tersebut menjadi perlahan.

- Iklan -

Langkah keempat, sementara menunggu benih tersebut dituskan, isi medium peatmoss ke dalam dulang semaian. Peatmoss adalah medium semaian yang biasa digunakan dalam aktiviti semaian.

Bahan ini diperbuat daripada lumut kering yang banyak dihasilkan di Negara Belanda. Dalam pada itu, peat moss ini turut dikenali sebagai tanah holland.

Proses meratakan peatmoss ke dalam lubang dulang semaian.

Kaedahnya dengan meratakan permukaan dulang semaian dengan peatmoss tersebut. Tidak perlu dipadatkan, hanya cukup diratakan dan pastikan peatmoss memenuhi lubang dulang tersebut.

Ada sebahagian peatmoss tersebut dalam bentuk ketulan yang besar dan keras, kita perlu hancurkan ketulan tersebut supaya menjadi serbuk yang halus.

Ini sebenarnya memberikan ruang kepada akar untuk tumbuh dengan sihat dan padat di dalam lubang dulang semaian tersebut.

Kemudian langkah kelima, buat lubang kecil dibahagian tengah lubang dulang tersebut dengan menggunakan jari telunjuk. Tidak perlu dalam, cukup sekadar satu ruas kuku.

Pastikan lubang tersebut dibuat pada bahagian tengah ya. Ini akan memastikan pertumbuhan anak pokok cili tersebut tegak dan seragam.

Tidak terlindung dengan daun anak pokok yang berdekatan dengannya.

Langkah keenam, setelah disemai, kambus kembali lubang tersebut dengan peatmoss, kemudian disiram dengan air. Tiada jenis air yang spesifik, boleh gunakan air paip biasa.

Proses mengisi benih cilibangi ke dalam lubang dulang semaian.
Proses mengisi benih cilibangi ke dalam lubang dulang semaian.

Cuma pastikan kaedah semburan tersebut adalah menggunakan pam semburan kabus.

Jika disembur dengan tekanan yang tinggi, dikhuatiri akan terkeluar peatmoss beserta benih yang sudah dimasukkan ke dalam lubang dulang ini tadi. Sembur sehingga medium tersebut basah sepenuhnya.

Kemudian langkah ketujuh, lapiskan surat khabar ke atas permukaan dulang yang sudah disiram.

Basahkan permukaan surat khabar ini dengan air yang sama. Ini untuk memastikan dulang semaian berada dalam kelembapan yang sekata.

Untuk pengetahuan, pada peringkat semaian ini yang paling mustahak adalah faktor kelembapan. Kelembapan yang tidak stabil menjadi faktor penghalang percambahan biji benih.

Langkah kelapan pula, plastik hitam sampah digunakan untuk membungkus keseluruhan dulang semaian. Jika skala besar, kebiasaannya kita akan gunakan plastik silvershine untuk tujuan yang sama.

Kemudian, diletakkan di tempat redup. Elakkan daripada panahan cahaya matahari terus kepada dulang semaian ini.

Biarkan 5 sehingga 7 hari di kawasan redup. Hari ke-5 buat intaian pada dulang semaian ini untuk melihat kadar percambahan biji benih.

Langkah kesembilan, seandainya sudah kelihatan pucuk-pucuk halus pada keseluruhan dulang, plastik tersebut boleh dibuka sepenuhnya. Terus didedahkan pada cahaya matahari, dengan syarat siraman air yang mencukupi.

Benih cili yang bercambah selepas 7 hari.
Benih cili yang bercambah selepas 7 hari.

Medium peatmoss perlu sentiasa lembap dan elakkan terbiar kering. Peatmoss yang sudah kering sangat sukar untuk menyerap air semula.

Bagaimana mahu membezakan peatmoss kering dan basah? Lihat pada permukaannya. Peatmoss yang basah akan kelihatan bewarna kehitaman, manakala yang kering kelihatan coklat keperangan.

Kadar kekerapan siraman air adalah dua kali sehari, pagi sekali dan petang sekali.

Artikel seterusnya akan mengupas berkenaan jadual pembajaan bagi benih cili yang masih diperingkat semaian.


KELAS FERTIGASI TANAM CILI (ONLINE)Kelas Fertigasi Serendah RM30, Akses Selama 1 Tahun

Daftar kelas sekarang dan akses kelas pada bila-bila masa anda lapang. Harga kelas bermula RM30.


Nota Percuma!

Langgan email percuma setiap minggu untuk dapatkan info terkini mengenai tanaman.

Anda mungkin juga berminat
- Iklan -

Tinggalkan komen

Alamat email anda tidak akan disiarkan.

20 Komen
  1. Wati berkata

    assalammualaikum…
    benih yang timbul tu macam mana…boleh tanam atau tak…?
    apa beza benih yang timbul dan benih yang tenggelam…?

    1. Wati berkata berkata

      Benih yg timbul, maksudnya benih tu dalamnya kosong. Sebab tu dia terapung. Buang je. Kita nak benih yg tenggelam. Benih yang tenggelam maksudnya ada isi.

      1. Fikri Mastor berkata

        Ya betul. Benih yang timbul tidak mengandungi embryo yang bakal bercambah. Sebaiknya diasingkan.

    2. Juen berkata

      Biji benih yg timbul atas permukaan air tu maksudnya kosong tk boleh tanam, kena buang dan asingkan. Manakala biji benih yg tenggelam tu adalah biji benih yg subur boleh disemai. Jadi ambik biji benih yg tenggelam buat semai lada atas peatmoss dlm dulang/tray nurserry tuu… Faham dokk

  2. Lilawati berkata

    info yang sangat menarik.boleh saya tau bagaimana jadual pembajaan bagi benih cili yang masih di peringkat semaian.kalau boleh tahu.sekian..

    1. Fikri Mastor berkata

      Puan Lilawati yang dihormati,

      Jadual pembajaan bagi benih cili yang masih di dalam tempoh semaian adalah bermula dari hari ke-15 sehingga hari ke-30. Kadar kepekatan baja AB dalam julat 1.0-1.5 EC sahaja, dan hanya diberikan pada waktu pagi. Pada waktu petang kita akan siram air biasa.

      1. Syafiq yahya berkata

        Berapa liter air baja untuk satu tray104 semaian

    2. Zainal berkata

      Saya, Zainal dri JB amat trtarik dgn pnulisan dan pnerangan kaedah yg berkaitan penanaman cili diatas, bernas, praktikal dan trsusun.
      Kebetulan saya sdang mncari rujukan utk merealisasi apa yg trangan di kpala dikala pnuhkn masa ‘brsara’ dan menafaatkn tnh yg ditinggalkn oleh empunya trdahulu.
      Saya tidak mnggunakn lmn facebook, hye lmn email dan whatsapp shj.

  3. rozita berkata

    kenapa benih yg dh bercambah cepat layu dan mati

    1. Fikri Mastor berkata

      Puan rozita yang dihormati,

      Ada banyak faktor penyebab.
      1) Boleh jadi disebabkan pendedahan cahaya matahari yang terik. Anak pokok perlu mendapat teduhan di dalam rumah semai. Ini bagi megelakkan anak pokok mati kelayuan.

      2) Serangan kulat.

  4. Sabrina Thrisjade berkata

    Ada sukatan ke chitosan dalam rendaman?

  5. Abd razak alias berkata

    Tahniah keatas kejayaan tuan kini saya baru nakcebur tanam cili fertigasi 650 bag, dan banyak perlu saya ketahui. Harap ada peluang melawat samnil belajar ditemapt tuan

  6. Muzalizam berkata

    Saya muzalizam.saya nak cara apa yg paling trbaik utk anak pokok dlm dulang semaian.cara siraman atau remdaman.

    1. Fikri Mastor berkata

      Tuan Muzalizam yang dihormati,

      Sebaiknya rendaman, jika tuan guna kaedah siraman, saya khuatir air baja tersebut terkena pada daun pokok. Ada sesetengah varieti tidak tahan kena siraman baja AB pada daunnya. Air baja ini sebaiknya didedahkan melalui akar bukan siraman terus kepada daun pokok.

  7. Nena berkata

    Pada peringkat semaian bolehkah menanam dia biji cili terus kedalam satu lubang tray?

    1. Fikri Mastor berkata

      Boleh Tuan. Tiada masalah. Nanti peringkat pindah tanam boleh terus pindahkan 2 pokok tersebut ke dalam 1 polibag.

  8. najmi berkata

    salam tuan.. boleh terangkan cara memberi baja kepada anak pokok berusia 15hari (baja ab atau npk) dan mcm mana cara menggunakan kaedah kedua2 baja tersebut

    1. Fikri Mastor berkata

      Berkenaan pemberian baja kepada anak pokok kita akan menggunakan baja AB. Tuan boleh rujuk dalam artikel berikut untuk cara langkah demi langkah pemberian baja kepada anak pokok: https://www.cilibangi.com/blog/teknik-pemberian-baja-ab-pada-anak-pokok-cili/

  9. Mohamad Rizal berkata

    As salam tn.

    Terima kasih di atas usaha tuan dalam menghasilkan laman web ini.

    Saya ingin bertanya adakah sewaktu tempoh 5-7 hari sewaktu kita tutup dengan plastik sampah hitam, kita harus siram juga dengan air?

    Terima kasih.

    1. Fikri Mastor berkata

      Waalaikumsalam. Mohon maaf atas kelewatan membalas komen ini.

      Tidak perlu disiram tuan. Jawapan untuk persoalan kenapa kita tutup dengan plastik dan surat khabar tu adalah untuk memastikan kelembapan sekata dalam persekitaran dulang semaian tersebut.

      Jadi, sebelum kita menutup dengan plastik hitam, perlu pastikan air yang disiramkan pada medium peatmoss membasahi sepenuhnya media tersebut.