Mengapa Tanaman Organik Harga Mahal dan Bagaimana Menjadikannya Murah
Pernahkah anda membeli sayur organik? Pasti harganya lebih tinggi sedikit dari sayur biasa.
Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini info pertanian terkini.
Artikel ini ditulis oleh Puan Sharifah Nur Rahimah dan asalnya telah diterbitkan di SekolahBisnes.net.
Pernahkah anda membeli sayur organik? Pasti harganya lebih tinggi sedikit dari sayur biasa. Namun anda sanggup membayar lebih kerana rasa selamat bahawa sayur organik itu tidak mempunyai racun.
Ditambah lagi anda sering mendengar berita-berita yang menakutkan seperti bilangan pesakit kanser dan penyakit kronik yang semakin bertambah.
Persoalannya mengapa sayur organik lebih tinggi harganya berbanding sayur biasa? Zaman nenek moyang kita bercucuk tanam dahulu, mereka tidak menggunakan racun, dan sayur mereka tidaklah mahal.
Apa yang menyebabkan tanaman organik adalah mahal?
Istilah “organik” merujuk kepada cara produk pertanian yang ditanam dan diproses. Keperluan khusus haruslah dipenuhi dan dikekalkan bagi membolehkan produk yang akan dilabel sebagai “organik”.
Tanaman organik mesti ditanam di tanah yang bebas racun dan baja kimia, tiada pengubahsuaian, dan mesti diasingkan daripada produk konvensional.
Petani tidak dibenarkan untuk menggunakan racun perosak sintetik, organisma yang telah diubah genetiknya (Geneticaly Modified Organism, GMO), baja berasaskan petroleum, dan kumbahan baja berasaskan enapcemar .
Ternakan Organik
Manakala bagi ternakan organik pula, haiwan ternakan perlu mempunyai akses ke luar rumah dan diberi makanan organik. Mereka tidak boleh diberikan antibiotik , hormon pertumbuhan, atau mana-mana produk berasaskan binatang.
Untuk menepati keperluan tanaman dan ternakan organik ini, petani memerlukan perbelanjaan tambahan berbanding tanaman konvensional.
Petani perlu memastikan sumber air yang digunakan tidak tercemar dengan racun dan bahan pencemar yang lain. Kawasan tanaman juga perlu dipastikan sejarahnya tidak pernah menggunakan racun dan baja kimia.
Ia juga tidak boleh terletak bersebelahan dengan kawasan tanaman konvensional. Semburan racun dari ladang jiran boleh dibawa angin ke ladang organik bersebelahan.
Untuk menepati kriteria-kriteria ini sudah pasti agak sukar bagi petani memandangkan di Malaysia, tanaman kelapa sawit, getah dan seumpamanya menggunakan baja dan racun kimia secara meluas.
Sudah puluhan tahun negara kita menggunakan baja dan racun kimia demi untuk meningkatkan hasil. Kebanyakan dusun dan tanah pertanian adalah bersebelahan dengan estet kelapa sawit dan getah.
Tanaman secara organik juga memerlukan kawalan serangga secara organik. Kos bahan-bahan organik yang digunakan untuk mengawal serangan serangga ini juga tinggi.
Baja organik yang digunakan juga tidak dapat memberikan hasil sama seperti baja kimia. Ini menyumbang kepada sebahagian faktor kos pengeluaran tanaman organik yang tinggi.
Walaubagaimanapun, usaha untuk menghasilkan tanaman organik pada harga mampu adalah tidak mustahil. Sudah banyak syarikat mula menghasilkan baja organik yang boleh memberi hasil yang sama seperti baja kimia.
Kawalan serangga organik juga sudah ada banyak pilihan. Seandainya tidak mempunyai kawasan tanaman yang sejarah sebelumnya tidak organik, penukaran cara tanaman sekarang kepada organik boleh menghasilkan produk bebas kimia terlebih dahulu.
Selepas berberapa tahun mempraktiskan tanaman organik, analisis tanah boleh dilakukan untuk membuktikan kawasan tanaman bebas unsur baja dan racun kimia. Kemudian, petani boleh memohon pengiktirafan Skim Organik Malaysia (SOM).
Apabila, semakin ramai menyokong kepada industri tanaman organik, kita sudah boleh menawarkan makanan organik pada harga mampu beli. Semakin ramai berpeluang untuk makan secara sihat dan selamat.
Daftar kelas sekarang dan akses kelas pada bila-bila masa anda lapang. Harga kelas bermula RM30.